" Mereka TUDUH Bekas Menteri GILAK TALAK Sebab Tegur Kerajaan. Sedangkan Semasa Saya Berkhidmat Dalam UMNO Mereka Masih DI TADIKA " - Tan Sri Rafidah Aziz

19:24 Unknown 0 Comments

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz dalam satu kenyataan secara sinis membidas kenyataan menteri yang melabelkan sesetengah bekas menteri yang mengutuk kerajaan sebagai orang ‘gila talak’.




“Mereka yang bertanya seperti saya, dianggap sebagai ‘gila talak’, anti kerajaan, anti UMNO, sedangkan separuh abad saya berkhidmat untuk UMNO, di mana ketika itu ramai pemimpin muda pada hari ini masih berada di ‘tadika’,” tulis Rafidah di laman Facebooknya, semalam.

Kata Rafidah, sejak bila tindakan menyuarakan pandangan yang berbeza dianggap sebagai anti-kerajaan.

“Hanya kawan sebenar sanggup menghulur leher bagi memberitahu perkara sebenarnya. Seseorang boleh mempunyai ramai kawan yang hanya berkata mengikut kehendak seseorang itu mahu dan lebih suka mendengar tetapi kemudian menanggung akibatnya.

“Saya tidak pernah membenarkan diri saya menjadi pak turut kepada sesiapa. Ia tercatat dalam rekod saya,” jelas bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa & Industri itu.

Malah, Rafidah turut menggesa kerajaan menyelesaikan isu kemasukan 1.5 juta pekerja Bangladesh ke Malaysia, memandangkan sejak keputusan ‘flip-flop’ kerajaan berhubung isu tersebut ia terus dipolemikkan.

“Hentikan polemik dan perdebatan pengambilan (pekerja asing), masa untuk menjelaskan isu sebenar kepada rakyat,” tegasnya.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan segelintir bekas menteri sebagai ‘gila talak’ selepas menuduh kerajaan sebagai ‘flip-flop’ atau tidak tetap pendirian apabila membuat sesuatu perubahan dasar terutama selepas mendengar respon rakyat.

Meskipun Rafidah sebelum ini dilihat sering menyuarakan pandangan terhadap beberapa isu yang melanda negara, beliau bagaimanapun menyatakan dirinya tidak berminat untuk kembali aktif dalam politik, mahupun terlibat dengan kerajaan.

“Tetapi ini tidak bermakna saya, sebagai rakyat jelata, saya tidak boleh menyuarakan pendapat saya, terutamanya apabila terdapat isu-isu membabitkan kepentingan awam.

“Seperti orang lain, saya juga keliru dan tidak memahami apa yang berlaku kerana keputusan yang sering berubah-ubah,” katanya. – malaysiandigest.com

0 comments: