KPDNKK SERBU PLAZA LOW YAT & RAMPAS 11,174 AKSESORI TIRUAN

17:34 Unknown 0 Comments




Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah berjaya merampas 11,174 aksesori telefon bimbit tiruan yang bernilai RM150,990 dalam serbuan mengejut pada jam 2.30 petang semalam.


Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Seri Alias Ahmad berkata, sebanyak 120 premis diperiksa dengan kerjasama dari anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen selepas menerima banyak aduan dari orang ramai.


Jabatan Imigresen juga turut menahan tiga warga asing yang berasal dari Bangladesh dan Pakistan atas kesalahan tinggal di negara ini tanpa sebarang dokumen yang sah dan salah guna pas lawatan.


Difahamkan, sebelum melakukan serbuan itu, KPDNKK telah menjalankan risikan setelah menerima banyak aduan.


"Semua kes disiasat di bawah Seksyen 8, Akta Perihal Dagangan 2011 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 bagi setiap unit barang rampasan atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi individu yang disabitkan kesalahan atau denda maksimum RM15,000 seunit barangan bagi syarikat yang terbabit," katanya.


Operasi serbuan itu disertai sebanyak 110 anggota KPDNKK termasuk wakil dari pemilik cap dagang yang berdaftar bagi mengesan sebarang cubaan penipuan oleh mana-mana peniaga.


Jelas Datuk Seri Alias, operasi seperti itu akan terus diadakan di seluruh negara bagi memastikan pengguna tidak terus ditipu selain dari mendidik penjual agar mematuhi undang-undang.


Orang ramai yang mempunyai aduan dan maklumat diminta menghubungi talian 1300 88 6800 atau melalui laman web http://eaduan.kpdnkk.gov.my atau datang sendiri ke pejabat KPDNKK.

0 comments: